Wanita kudung tak sangka dapat sarung cincin kahwin di jari manis… Syukur ada jejaka baik hati, 3 minggu kenal terus dirisik

 

JIKA dilihat dengan pandangan mata kasar, wanita ini sama seperti individu lain yang normal.

Hakikatnya di sebalik kelincahan tangannya membakar dan membungkus sate, siapa sangka dia sebenarnya mempunyai kecacatan jari pada kedua-dua belah tangan.

Mempunyai kekurangan fizikal, namun itu bukan penghalang untuk wanita bernama Amira Syafikar ini bertemu jodoh dengan lelaki yang sudi menerima dia seadanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok memaparkan jari tangannya yang kurang sempurna disarungkan sebentuk cincin, mengundang perhatian netizen yang turut sama tumpang gembira melihat wanita ini menemui kebahagiaan.

Senang disapa dengan nama Amira, wanita ini berkata dia sendiri tidak menyangka ada jejaka yang sudi menyuntingnya sebagai isteri.

“Sebenarnya saya pernah bertunang namun jodoh tak panjang. Lima tahun mengikat tali pertunangan, akhirnya ia putus pada Januari lalu.

“Selepas itu saya serik dan enggan terlalu memikirkan soal jodoh buat sementara. Namun siapa sangka, seorang jejaka menghulurkan salam perkenalan di media sosial beberapa bulan selepas saya putus tunang,” cerita Amira mengenai detik perkenalan dengan jejaka bernama Syahmi, yang kini merupakan suaminya.

Foto persandingan Amira dan Syahmi.

Wanita berusia 28 tahun ini berkata, pada awal perkenalan, dia mengambil pendekatan untuk berterus terang dan jujur mengenai keadaan dirinya kepada jejaka tersebut.

“Bukan apa, ada sesetengah orang tak dapat terima jika bakal pasangannya kurang sempurna. Tapi dia tidak melihat itu semua. Saya tanya, bagaimana pula dengan keluarganya?

“Dan dia kata keluarganya juga tak kisah. Tiga minggu selepas berkenalan, Syahmi dan keluarganya masuk merisik, iaitu pada hari raya kedua Aidiladha, Julai lalu.

“Saya tak minta pun bawa cincin sebab kekurangan pada jari. Tapi pihak lelaki bawa juga, tengok-tengok ngam pula dengan jari manis.

Ketika majlis merisik, Julai lalu.

“Kami sepakat untuk tidak bertunang sebaliknya terus bernikah,” ujar Amira yang cacat pada jari kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir.

Amira yang kini mengusahakan perniagaan Abah Man Sate di Batu Kurau, Perak, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya pada 30 September lalu.

Ujar anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini, dia tidak teragak-agak menerima Syahmi sebagai suami kerana melihat usaha lelaki tersebut yang bersungguh-sungguh mahu menghalalkan hubungan mereka.

“Selain itu dia merupakan seorang lelaki yang matang, solat tak tinggal serta menghormati orang tua. Itu yang menambat hati saya,” ujarnya.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu meraih sehingga 916,000 jumlah tontonan, Amira berkata dia terharu dengan komen netizen yang rata-ratanya mendoakan kebahagiaannya.

“Sebelum video cincin tu, saya ada muat naik satu video lain ketika saya sedang membungkus sate. Ada seorang follower komen, beritahu dia juga sama seperti saya… mempunyai kekurangan pada tangan.

Amira mengusahakan perniagaan Abah Man Sate di Batu Kurau.

“Tapi dia segan dan tak pernah tunjuk di media sosial kerana merasa diri tak sempurna.

“Apa yang boleh saya katakan, jangan malu dengan sendiri. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Lagipun, sampai bila nak menyorok? Sepatutnya kita bersyukur dengan apa jua yang Allah dah berikan,” ujarnya lagi.

Sumber : Mstar

 

About admin

Check Also

Berpihak Kepada Yang Benar, Yusof Haslam Restu Isteri Jadi Pencelah

Pengarah Datuk Yusof Haslam memberi keizinan kepada isterinya, Datin Patimah Ismail untuk jadi pencelah dan saksi buat menantunya, Puteri Sarah dalam kes …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *